Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu
peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi
junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diputerakan pada
bulan ini iaitu pada 12 Rabiulawal, yang pada tahun ini jatuh pada 21hb April,
2005. Berbagai acara sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan
junjungan kita ini.
Membesarkan Maulidur Rasul
Setiap tahun pada 12 Rabiulawal, umat
Islam di seluruh dunia terutama di negara kita akan mengadakan majlis
memperingati keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam atau dikenali
Maulidur Rasul dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan
sebagainya. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu
Wataala setelah nabi-nabi yang terdahulu. Hari keputeraan Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam ini patut dibesarkan untuk memuliakan Baginda dan sebagai tanda
kecintaan kita kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Banyak kelebihan dan keistimewaan yang
akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat
mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Kita dapat lihat betapa
besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud
Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar
untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan
Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik
sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan
memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar
kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya
mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah
Subhanahu Wataala.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membesarkan hari keputeraanku
nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa
membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah
gunung untuk agama Allah." Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radiallahuanhu
berkata: "Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam,
maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga." Begitu pula
As-Sirri As Saqati berkata: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca
di situ Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sesungguhnya dia diberi satu
kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain
kerana cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam."
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud
itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh
ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.
Jalalaludin As-Sayuti berkata:
"Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, nescaya Allah Subhanahu Wataala akan
menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan,
kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan
apabila dia mati, Allah Subhanahu Wataala akan memudahkan dia menjawab akan
soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang
yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar Kerajaan-Nya."
Beliau berkata lagi: "Tiada sebuah rumah atau masjid
atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah
Subhanahu Wataala akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan
malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil
mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang menganjurkan dan menyebabkan adanya
majlis Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu." [Sumber: Pelita Brunei]
Tidak ada komentar:
Posting Komentar