Persediaan Di Ambang Ramadhan
Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut
kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat
di dalamnya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan hari atau bulan
itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh
hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kelebihan bulan Muharram,
Rejab, Sya‘ban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang
istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Juma‘at, Khamis dan
Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.
Bulan Sya‘ban Dan Galakkan Beribadat Di
Dalamnya
Sekarang kita berada di bulan Sya‘ban. Bulan
Sya‘ban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini
samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri,
sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang
ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.
Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling
dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda
Shallallahu ‘alaihi wasallam akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah
diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih
banyak daripada puasanya di bulan Sya‘ban.
Dalam makna yang lain Baginda Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya‘ban dibandingkan
bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu amatlah dituntut bagi umat Islam
mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal
kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah
mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban
Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh
manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka
sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.
Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:
1. Memperbanyak
puasa sunat.
Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih
gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang
lain.
2. Bertaubat
dan beristiqhfar
Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat
itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya
tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum
taubat itu adalah wajib dari segi syara‘. Walau bagaimanapun sebenar-benar
taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.
Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan
terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara
hamba dengan Tuhan:
-
Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat
itu.
-
Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa
dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.
-
Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak
akan kembali mengulangi melakukannya.
Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan
hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas,
ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak
orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang
berkenaan.
Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri
tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat.
Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung
diri kepada Allah subhanahu wa Ta‘ala memohon keberkatan ketika kita memulakan
dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq
serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan
sebagainya.
Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan
memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di
antaranya ialah
bererti:
“Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.

3. Memperbanyak
zikir dan berdoa
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah
atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang
mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak
untukNya.
Terdapat banyak ayat al-Qur'an dan hadis yang memerintahkan
agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil
daripada berzikir. Antaranya ialah:
-
Menenangkan hati:
Ini bersesuaian dengan janji Allah Subhanahu wa
Ta‘ala bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah.
Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.
-
Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:
Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah
sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia
takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan. Bahkan
dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar
duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga
rahmat Allah dan kawalan malaikat.
-
Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan
Syaitan.
-
Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:
Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah,
mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang
diucapkan itu.
Antara keistemewaan amalan zikir itu pula
ialah:
-
Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa
walaupun sedang melakukan pekerjaan tanpa terikat dengan waktu. Ia juga boleh
dilaksanakan dalam keadaan duduk, tidur, berdiri dan baring.
-
Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan
berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar. Walau bagaimanapun makruh
berzikir secara lisan ketika berada di dalam tandas.
Begitu juga dengan perkara doa. Doa boleh
dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau
perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan cara merendahkan diri
dan tawadhu‘ kepadaNya.
Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan
yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut
kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi
Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, bersembahyang sunat terutama di waktu
malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan
yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan
kita. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, mengapa Baginda
melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain?
Baginda bersabda:
Maksudnya: “Bulan itu (Sya‘ban) yang berada
di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah
bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka
aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”. (Hadis
riwayat an-Nasaie).
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban
Adapun kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah
disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu,
bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua
makhlukNya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya
kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis
riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban).
Di Malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara
malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya
al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan
pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya
‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”
Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban
Nisfu Sya‘ban ialah hari ke lima belas daripada
bulan Sya‘ban. Malam Nisfu Sya‘ban merupakan malam yang penuh rahmat dan
pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kenyataan ini dapat direnung
kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban
sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku
pada zaman tabi‘in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya
al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi‘in daripada penduduk Syam seperti
Khalid bin Ma‘dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada
Malam Nisfu Sya‘ban. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai
pada membesarkan malam tersebut.
Para tabi‘in tersebut menghidupkan Malam Nisfu
Sya‘ban dengan dua cara:
1. Sebahagian
mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail)
untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan
berpakaian yang terbaik.
2. Sebahagiannya
lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut
dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan
Malam Nisfu Sya‘ban dengan membaca Al-Qur'an seperti membaca surah Yasin,
berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah
persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeda
dengan apa yang dilakukan oleh para tabi‘in itu.
FADHILAT SYA'BAN
1. Telah
memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik
daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina 'Aishah telah
berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka
dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku
tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh
melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak
berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban. (Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam
sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya).
2. Telah
memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya
daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina 'Aishah telah memberitahunya
dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban,
dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya'ban. Dan adalah
baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka
sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat
dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah
sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda
S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di
dalam berbuat demikian. (Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan
imam Muslim di dalam sohihnya).
3. Telah
memberitahu kami Sufian bin 'Uyainah daripada Ibn Abi Labid daripada Abi
Salamah telah berkata : Aku telah bertanya Sayyidatina 'Aishah tentang puasa
Rasulullah S.A.W maka dia menjawab : Adalah baginda S.A.W berpuasa sehingga
kami berkata : Sesungguhnya baginda S.A.W telah berpuasa dan baginda s.A.W
berbuka sehingga kami mengatakan : Telah baginda S.A.W berbuka. Aku tidak
pernah melihat baginda S.A.W berpuasa dari sebulan sahaja lebih banyak daripada
puasa baginda S.A.W pada bulan Sya'ban. Kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa
Sya'ban sebulan penuh dan kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa sedikit
daripadanya. (Diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam sohihnya).
4. Telah
memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya
dia telah mendengar Sayyidatina 'Aishah berkata : Bulan yang disukai oleh
Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya'ban
kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan. (Hadis ini sanadnya Hasan dan
diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)
5. Telah
memberitahuku Al-Maqburi daripada Abu Hurairah daripada Usamah bin Zaid telah
berkata: Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kau telah melihat
engkau berpuasa pada bulan yang mana aku tidak melihat engkau berpuasa pada
bulan yang mana engkau puasa padanya. Soal Rasulullah S.A.W : Bulan apa? Aku
telah berkata: Sya'ban bulan diantara Rejab dan Ramadhan yang mana melupai
manusia mengenainya(diangkat kepadaNya) segala amalan semua hamba maka aku
lebih suka amalanku tidak diangkat melainkan bersamanya aku berpuasa. Mka aku
berkata lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak
mengabaikan kedua-dua hari itu.Sabda baginda S.A.W : Sesungguhnya segala amalan
semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak
diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa. (Hadis ini sanadnya Hasan
dan telah dikeluarkan oleh An-Nasaei, Imam Ahmad dan imam Al-Baihaqi).
HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN
1. Daripada
Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W
telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta'ala memerhati makhlukNya pada malam
nisfu(pertengahan) daripada Sya'ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya
melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan. (Hadis ini isnadnya
Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani).
2. Daripada
Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-'As daripada
Nabi S.A.W telah bersabda : Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada
bulan Sya'ban, pemanggil akan memang- gil : Adakah daripada mereka yang memohon
keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang
meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu
melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang
syirik. (Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi
dan imam Sayuti)
Penerangan Hadis:
1. Hadis-hadis
ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya'ban yang mana
Rasulullah S.A.W sentiasa berpuasa bahkan melebihi bulan-bulan yang lain.
2. Hadis-hadis
ini juga menerangkan bagaimana hukum berpuasa pada bulan Sya'ban iaitu sunat
bukannya wajib. Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan
pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu
ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi'liyyah
(sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujjah di dalam
mengeluarkan sesuatu hukum.
3. Baginda
S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama
dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia
mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Kita kadang-kadang
melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan dan ia dilakukan
apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai
hikmat dan kesan daripada amalan tersebut. Ini kerana apabila ia dilakukan
secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan
menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang
sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama
ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.
4. Galakan
ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum
masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.
5. Baginda
juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan
yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk
dihisab kualitinya. Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan
peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan
Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan
diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan
malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat
kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
6. Baginda
S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai
kelebihannya tersendiri seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan
Sya'ban terutama pada malam pertengahan bulannya. Baginda S.A.W juga mengajar
kita agar menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada
Allah.
7. Islam
mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk
beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa
berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mapu menjaga masa dan
menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan
untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut
dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan
kita.
8. Islam
mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana
ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang,
puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang
dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab
mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya
mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja
merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda
juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat
adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut
landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang
menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji
dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar
seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga
pemerintahan negara.
9. Islam
mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak
dimaqbulkan.
Sumber:
-
Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibnu
Hajar jilid 4 cetakan Maktabah Al-Risalah Al-Hadisah
-
Syarah Sohih Muslim oleh imam An-Nawawi jilid
15/16 cetakan Darul Makrifah
-
Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin
Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan
Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah.
-
http://members.tripod.com/~DarulUlum/BH2
Tidak ada komentar:
Posting Komentar