Masyarakat Arab pada zaman jahiliyah iaitu sebelum
kedatangan agama Islam sememangnya terkenal dengan amalan-amalan yang
bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa
dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat. Sebagai contoh
sekiranya mereka ingin memulakan perjalanan mereka akan melihat gerakan-gerakan
sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan
sama ada ke kiri atau ke kanan. Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh
mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin akan dihadapi dalam
perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut
menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk
meneruskan perjalanan tersebut. Perkara sebegini disebutkan tathayyur atau
meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara. Sebagai
contohnya Imam al-Syafi’i r.h pernah berkata:
Dahulu golongan jahiliyah apabila ingin bermusafir akan
mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka
mereka pun keluar atas tanggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke
belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila
Nabi s.a.w. diutuskan, baginda menyeru orang ramai: “Kekalkan burung pada
sarangnya.” – Riwayat Abu Nu’aim al-Asfahani di dalam Hilyah al-Auliya’
Islam menyelar budaya tathayyur ini dan menganggap ianya
merupakan satu perbuatan yang mencemar kemurniaan tauhid kerana ketergantungan
hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah S.W.T. dengan
menyakini perkara tersebut boleh membawa mudharat atau manfaat kepada kita.
Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan
kekuasaan Allah S.W.T semata-mata. Firman-Nya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa
kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah
Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada
Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. – al-Taubah (9) :
51
Menyandarkan sesuatu musibah bakal
menimpa terhadap kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan
bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang
tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah S.W.T. tanpa ada faktor
lain yang mempengaruhi keputusan-Nya. Firman Allah S.W.T.:
Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya
di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. –
al-A’raaf (7) : 131
Oleh itu bagi sesiapa yang membuat
sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur maka dia telah terjebak dalam lembah
kesyirikkan.
Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar r.a
dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ
رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ
Barangsiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah
(ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik. - Hadis riwayat
Imam Ahmad, no: 6748
Daripada ‘Abdullah Ibnu Mas’ud
bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
الطِّيَرَةُ
شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلاَثًا وَمَا مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ
يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.
Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu
syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seoarang pun dari kita,
kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah tersebut) akan tetapi
Allah menghilangkannya dengan tawakal – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no: 3411.
Melalui hadis di atas kita dapati
sedikit sebanyak setiap manusia akan berhadapan dengan perasaan tathayyur ini
akan tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala perkara yang
mendatangkan manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah akan menghilangkan
perasaan tersebut dari jiwa kita. Sekiranya kita telah terjebak dalam perlakuan
tathayyur ini, untuk menebusnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita untuk
mengucapkan:
اللَّهُمَّ
لاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُكَ وَلاَ طَيْرَ إِلاَّ طَيْرُكَ وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.
Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak
ada kesialan kecuali kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu. -
Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748.
Namun apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar,
budaya jahiliyah yang diperangi oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Safar
adalah bulan kedua dalam kalendar hijrah dan Safar bermaksud kosong atau
meninggalkan sesuatu tempat. Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar adalah
kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini bertujuan
memerangi musuh-musuh dan mereka juga suka mengembara pada bulan ini.
Kebanyakan orang Arab pada zaman jahiliyah beranggapan terdapat kesialan pada bulan
Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih diwarisi oleh segelintir
kecil umat Islam pada zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan
kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid. Mereka beranggapan bulan Safar merupakan
bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu
banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada hari Rabu
minggu terakhir. Sesetengah umat Islam menghindarkan diri dari melakukan
perjalanan pada bulan safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai
contohnya dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitab tersebut memilih
untuk menahan diri dari keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati agar
semua pengikut tarekat tersebut untuk tidak meninggalkan rumah melainkan sekiranya
benar-benar perlu. Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Syaikh tarekat
tersebut ‘Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan
Safar, 70,000 penedritaan (bala) akan menimpa dunia. Barangsiapa yang
mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan
dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa.” Bagi orang Melayu pula mereka
menghindari dari melakukan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana
dipercayai jodoh pasangan pengantin tersebut akan tidak berkekalan dan kelak
akan susah untuk mendapatkan zuriat. Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir
pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas
untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara
tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Firman-Nya:
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa
(seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah,
Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan
tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu. – al-Taghaabun (64) : 11
Lantaran itu beberapa amalan bidaah telah dicipta sempanan
bulan Safar ini untuk menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan
kedatangan bulan tersebut.
MANDI SAFAR
Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan Mandi Safar atau
mandi beramai-ramai ditepi sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu
ritual untuk menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa. Orang
Melayu berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi dengan alunan muzik,
nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka mambaca
jampi tertentu atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu
memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya. Sebenarnya amalan
mandi Safar ini diwarisi dari budaya Hindu.
Walaupun Pesta Mandi Safar ini semakin terhakis dalam umat
Melayu terdapat sesetengah pihak yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini.
Maka diarahnya penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan
direndam di dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga
bermandi dengannya. Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry berkata:
Orang-orang awam biasa menulis
ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat:
“Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk
seluruh alam! ” (al-Saaffaat (37) : 79) pada hari Rabu terakhir bulan Safar,
kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya dan
untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa hal ini akan
menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan
harus ditentang. – Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi
al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, edisi
terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press,
Jakarta (2004), ms. 149
Upacara yang disebut oleh Syaikh Muhammad ‘Abdussalam ini
biasanya dikerjakan di Masjid di antara solat Maghrib dan Isyak pada hari Rabu
terakhir bulan Safar.
SHOLAT SUNAT
Pada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan
untuk mengerjakan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah
terbit matahari dan sebelum masukya waktu Zuhur. Pada setiap rakaat hendaklah
dibaca surah al-Fatihah sekali, surah al-Kautsar tujuh belas kali, al-Ikhlas
lima kali, Surah al-Falaq dan al-Naas sekali dengan dikerjakan dengan hanya
satu tahiyat. Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa seperti berikut:
Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang
kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan
makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan
Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan
rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan,
saudaranya, ayah, ibu dan keturunnanya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan
apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak
segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi
Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad,
keluarga dan seluruh sahabatnya. – Doa ini bersumber dari Risalah Rawi
al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab
al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz al-Tuwaijiry, edisi
terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta
(2003), ms. 139
Ternyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat suna
serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat
lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a),
Hussain (r.a), Ali (r.a), Fathimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara
dalam berdoa. Allah S.W.T. memerintahkan hamba-Nya untuk berdoa secara terus
kepada-Nya tanpa perantaraan sebagaimana firman-Nya:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya
Aku perkenankan doa permohonan kamu. – al-Ghaafir (40) : 60
BACAAN SURAH DAN ZIKIR TERTENTU
Dalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut
diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan untuk
menolak bala. Di antara amalan-amalannya adalah membaca kalimah syahadah
sebanyak tiga kali, beristighfar tiga ratus kali, membaca ayat al-Kursi tujuh
kali, suraf al-Fiil tujuh kali dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga
ahli keluarga.
MEMBERI SEDEKAH
Konnonnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada
bulan Safar bertujuan untuk menjauhkan diri dari penderitaan dan nasib malang.
BERKORBAN
Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjurkan
untuk mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar. Ternyata kesemua amalan
yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh
Rasulullah s.a.w. serta tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang
mengamalkannya. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Barangsiapa yang mengada-adakan di
dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak
ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan
kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis
riwayat Imam Muslim, no: 1718
Lantaran itu hendaklah seluruh umat Islam menghindarkan diri
dari melakukan amalan-amalan bidaah tersebut. Rasulullah s.a.w. telah
menegaskan bahawa segala tanggapan bahawa bulan Safar adalah bulan yang penuh
dengan musibah dan bencana buruk adalah tidak benar. Daripada Abu Hurairah r.a
berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لاَ
عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلاَ هَامَةَ.
Tiada penyakit yang berjangkit (dengan sendiri), tiada
(keburukan ataupun kesialan pada bulan) Safar dan tiada (kecelakaan yang
bersangkutan dengan) burung hantu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5717
Dugaan bahawa bulan Safar mahupun hari Rabu terakhir bulan
Safar merupakan bulan ataupun hari yang malang merupakan sebahagian dari
tathayyur yang dicela oleh syarak sebagaimana yang telah dibahaskan pada bahagian
awal risalah ini. Menurut Ibnu Rajab r.h:
Menganggap sial bulan Safar adalah termasuk jenis tathayyur
yang dilarang, begitu juga menganggap sial sesuatu hari seperti hari Rabu dan
anggapan golongan jahiliyah terhadap bulan Syawal sebegai bulan sial secara
khusus untuk dalam nikah. – Dinukil dari kitab Fathul Majid : Syarah Kitab
Tauhid karya Syaikh ‘Abdurrahman bin Hassan Alu Syaikh, edisi terjemahan
bertajuk Fathul Majid Penjelasan Kitab Tauhid, Pustaka Azzam, Jakarta (2004),
ms. 580
Harus kita fahami bahawa mencela waktu yang tertentu adalah
seolah-olah mencela Allah S.W.T kerana semua waktu itu adalah ciptaan Allah
S.W.T.. Bagi setiap waktu termasuk bulan Safar ini sekiranya dipenuhi dengan
aktiviti yang bermanfaat serta amal soleh adalah termasuk dalam waktu yang baik
dan penuh keberkatan. Oleh itu hendaklah bulan Safar ini dilihat seperti
bulan-bulan yang lain dalam kalendar hijrah dan kita terus mengerjakan
amal-amal ibadah yang disunnahkan seperti bulan-bulan lain tanpa mengkhususkan
amalan tertentu yang tidak ada nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Hendaklah kita
menghindarkan diri dari melakukan ramalan bahawa akan datang sesuatu perkara
yang buruk disebabkan sesuatu perkara (tathayyur) kerana ianya termasuk dalam
kategori amalan syirik. Ternyata syirik merupakan satu perbuatan yang zalim dan
Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan golongan yang mengsyirikannya melainkan
bagi mereka yang bertaubat. Firman-Nya:
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa
ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik
itu adalah satu kezaliman yang besar”. - Luqman (31) : 13
Firman-Nya lagi:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang
mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain
kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu, sesungguhnya dia telah sesat dengan
kesesatan yang amat jauh.” – Surah al-Nisa’ (4) : 116.
Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar