Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa
peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang
terpenting adalah:
1. Menjaga
lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada
kena-mengena dengannya.
2. Memelihara
mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh
syarak dan yang sia-sia.
3. Mengawal
perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi
unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk
menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih. Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu
berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di
manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri
daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.
4. Berusaha
menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau
melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya
akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan
berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu
puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud
sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya
melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan
maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang
berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan
diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang
daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan
keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba
memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang
berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
5. Jangan
membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan
bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.
Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya
ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.
6. Jauhkan
diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis
makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan
puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan
tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap
kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang
menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang
menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan
iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka,
nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika
bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang
yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa
itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati
dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t.
Sabdanya: Takungan
jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya
beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka
berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk
minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan
at-Tarmizi).
Terdapat ulama
yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang
anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya
perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.” As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu)
mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal
ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang
masa.
7. Tidak
menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil
kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin.
Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan
hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang
selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari
Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat.
8. Mempraktikkan
amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah
tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan
makan sahur. Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat
Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat)
selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan
melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
9. Menyediakan
makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar
atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan
berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang
berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat
al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah).
10. Memenuhi
malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya. Adalah
dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya
seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat
solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan
tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana
sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan
makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan
terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya. Oleh itu berwaspadalah terhadap cara
demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain,
menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan
semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula
disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu
sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah
s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu
(selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman.
(Riwayat an-Nasaei).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar