Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut
perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan
mengelilingi bumi). Safar artinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan
ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana
melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara
peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini
ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun
ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.
Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat
Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang
bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun
sesetengah orang Islam yang jahil, bulan
Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada
hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan
amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.
Antara amalan khurafat yang pernah muncul di
alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular suatu
waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal
berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi
beramai-ramai dengan kepercayaan perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa
dan menolak bala. Pada biasanya amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu
minggu terakhir dalam bulan Safar.
Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan
umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu
mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan
mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan
dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh
menyebabkan rosaknya akidah.
Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah
berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan
dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu
Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya:
"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak
sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan
Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan
kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman
bertawakal.''
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah
nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan
akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh
yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut
tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada
syirik. [Sumber: Pelita Brunei]
Tidak ada komentar:
Posting Komentar